Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia bersedia menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui sempadan Rafah susulan perkembangan terbaru di wilayah terkepung itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan media hari ini melaporkan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan akan membuka semula laluan Erez ke wilayah diancam kebuluran itu buat kali pertama sejak serangan 7 Oktober.

Rejim Zionis itu juga akan membenarkan penghantaran sementara bantuan kemanusiaan melalui Ashdod dan pusat pemeriksaan Erez.

Perdana Menteri turut menyifatkan tindakan Israel membenarkan penghantaran ‘bantuan sementara’ melalui sempadannya di utara Gaza sebagai tanggungjawab rejim itu selepas sekian lama mengkhianati rakyat Palestin.

“Itu memang tanggungjawab dia (Israel). Dia dah khianat sekian lama. Orang dah hampir kebuluran baru nak cakap. Kita akan terus bagi tekanan.

“Kita ‘standby’ di sempadan Rafah. Memang ada (bantuan) sudah tiga empat kali bantuan disalurkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Huda Sungai Ara di sini, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan misi bantuan dibantu Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dalam usaha mempercepatkan penghantaran bantuan kepada penduduk terjejas.

Perdana Menteri turut memberi jaminan akan ada bantuan tambahan dihantar selepas beberapa siri penghantaran berjaya dilaksanakan sebelum ini.

“Dua kali saya minta Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi, (terakhir) dua minggu lalu bantu dipercepatkan dan akhirnya sampai.

“Insya-Allah kita akan bantu sebab masih ada petugas di sana dan ada ratusan lori menunggu giliran yang panjang. Jadi biar ‘clear’ dahulu,” katanya.

Pengumuman Israel itu dibuat ketika tekanan antarabangsa memuncak ke atas Israel selepas ia bertanggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WTC) baru-baru ini.

Terdahulu, kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri yang diimamkan Syarafaat Yaacob dan mendengar khutbah bertajuk ‘Kunci Menemukan Lailatul Qadar’ disampaikan khatib, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman-BH Online