Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil individu terbabit hantaran mesej tersusun dengan mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, identiti mereka terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan pengesanan sedang dilakukan.
“Tindakan menyebar fitnah ini sangat jahat bukan sahaja terhadap kerajaan tapi juga membabitkan agama Islam dan institusi Raja.
“Ini peringatan kepada semua, sekali lagi saya sebut seperti kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan pihak MCMC untuk tidak memasukkan bahan atau komen menyentuh 3R (agama, bangsa, raja) kerana kita sudah diminta bertindak lebih tegas oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Langkah pertama (akan diambil) mereka yang terbabit dalam penghantaran mesej tersusun ini akan dipanggil,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi mengesan satu hantaran mesej tersusun memburukkan kerajaan dengan mendakwa tiada majlis tilawah al-Quran pada tahun ini.
Fahmi dipetik sebagai berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC untuk meneliti dan mengenal pasti mereka yang terbabit dengan ‘operasi’ itu.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengesahkan dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar.
Beliau dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang manakala Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 5 hingga 12 Oktober.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya mengesan hantaran mesej tersusun itu sudah bermula sejak Februari lalu.
“Enough is enough (cukup-cukuplah). Seperti yang dititah Tuanku Agong, saya dan pihak MCMC ‘its time to catch some bees’ (tiba masanya untuk buat kerja),” katanya.-BH Online