Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Paras air empangan di seluruh negara akan terus dipantau bagi memastikan bekalan air mencukupi berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata secara keseluruhan, situasi takungan air di empangan masih terkawal dan boleh bertahan sekurang-kurangnya hingga tempoh 90 hari.

“Mungkin ada beberapa empangan yang paras kritikal namun itu bukan secara menyeluruh di seluruh negara dan meskipun isu air adalah di bawah bidang kuasa negeri menerusi syarikat air, namun kita (Persekutuan) bantu pantau,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bercakap kepada pemberita selepas Program Jiwa Madani Jalinan Kasih Ramadan di Surau Darul Naim, di sini.

Beliau berkata ketika ini beberapa empangan di negeri utara Semenanjung berada pada paras kritikal susulan kawasan berkenaan mengalami suhu panas tertinggi.

Menyentuh mengenai situasi bekalan air bersih di Sabah, Fadillah berkata kerajaan Persekutuan telah menyediakan geran dan pinjaman untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Itu inisiatif kerajaan negeri lah sama ada bantu sediakan trak dan beri bekalan air.. menerusi syarikat serta pembekal air yang dilantik,” katanya.

Pada 13 Mac, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan tersebut.-Berita RTM