Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Langkah reformasi fiskal adalah sesuatu yang berat, namun usaha ini perlu dimulakan untuk merancakkan semula ekonomi negara yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Justeru Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal agar ia bertunjang di landasan yang mampan dan utuh, bagi menggapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi yang bersandarkan nilai manusiawi.

Beliau berkata, pembaharuan fiskal akan ditumpukan kepada penyasaran subsidi dan memperluaskan asas hasil bagi mewujudkan ruang fiskal yang dapat diagihkan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

“Kerajaan akan menoktahkan gejala ketagihan kepada hutang bagi memulihkan keyakinan pelabur luar,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini. 

Perdana Menteri memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) semalam yang membincang dan meneliti senario terkini ekonomi Malaysia serta unjuran jangka pendek dan sederhana

“Dalam mesyuarat FPC, ahli jawatankuasa senada untuk memperkukuhkan Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) bagi menambah baik pengurusan hutang kerajaan serta memperkemaskan peranan Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) di bawah Kementerian Kewangan, yang menjadi pusat rujukan utama untuk pelabur pasaran,” katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusif; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengenalan subsidi bersasar terhadap beberapa segmen termasuk subsidi elektrik, mengerjakan haji dan seterusnya diesel, yang dijangka akan mula dilaksana tahun ini.-BH Online