Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap beliau diberikan peluang untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan, selain tidak dibandingkan dirinya dengan bekas menteri terdahulu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau juga berharap perkara yang sudah berlalu tidak wajar dibangkitkan kerana cara beliau dan Hishammuddin bekerja adalah berbeza.
“Saya berjanji untuk selesaikan isu ini dan ini komitmen yang datang daripada lubuk hati saya,” katanya pada Majlis Bertemu Agensi dan Jabatan di bawah kementeriannya dan media di sini hari ini.
Kenyataan Saifuddin itu merujuk kepada pertanyaan pihak media mengenai pentadbiran Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Seorang wakil media bertanya sama ada ia boleh selesaikan dan mendakwa, Hishammuddin ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri berjanji untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh setahun.
Hishammuddin pernah menjadi Menteri Dalam Negeri pada 10 April 2009 hingga 20 April 2013.
Ahli Parlimen Sembrong itu pernah dilantik Menteri Kanan Kluster Keselamatan pada 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.
Saifuddin berkata, beliau mahu berusaha bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu berkenaan dan tidak mahu disamakan dengan Hishammuddin.
Katanya, Hishammuddin adalah sahabatnya dan pernah menjadi Timbalan Ketua Pemuda UMNO dan beliau pula Setiausaha UMNO dan bekerja bersama-sama.
Dalam sesi soal jawab bersama media itu, beliau memberi jaminan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyelesaikan sebanyak 14,000 kes permohonan warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sehingga Disember tahun ini.
Katanya, Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan merangkumi permohonan warganegara anak angkat, bayi yang ditemui sebelum diletakkan di rumah kebajikan dan anak tidak sah taraf.
“Berdasarkan statistik sejak 2013, KDN menerima 150,000 permohonan untuk mendapatkan warganegara membabitkan semua kategori,” katanya.-BH Online