Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk lebih berani dalam menangani isu rasuah dan tidak mensia-siakan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh pegawai dan anggota polis terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata PDRM perlu memainkan peranan yang lebih dalam isu rasuah dan tidak mempersiakan amanah yang dipertanggungjawab oleh anggota keselamatan yang sudah terkorban.

“Selain SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Malaysia), PDRM juga harus berani untuk menyelamatkan bangsa dan tidak mensia-siakan pengorbanan termasuk warga polis yang terkorban. 

“Namun saya percaya ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi apabila rasuah menjadi sistemik, ia akan menghakis sendi kekuatan kita. (PDRM) ada keberanian untuk bertempur, ada keberanian untuk menyelamatkan bangsa,” katanya ada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Anwar juga meminta semua pihak supaya menghayati amanat yang pernah disampaikan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai ancaman-ancaman keselamatan negara.

Katanya, selain ancaman komunis yang berjaya ditangani pasukan keselamatan negara, Tun Abdul Razak pada 1961 pernah memberi amaran mengenai isu rasuah dan prinsip perbezaan (communalism) yang akan menyelubungi negara.

“Dalam isu ‘corruption’ (rasuah)…bayangkan pada 1961 lagi, pemimpin utama negara sudah menyanggah keras pimpinan yang merosakkan sendi negara akibat rasuah yang menular.

“Perjuangan bapa-bapa dan ibu-ibu kita memperjuangkan keringat, air mata dan darah bukan untuk mengizinkan pemimpin, pegawai, penjawat awam untuk merampok kekayaan sesuka hati kita,” katanya.-BH Online