Projek pembinaan Kolej Komuniti Pendang dijangka siap sepenuhnya dan diserahkan pada tahun 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Kolej Komuniti Pendang dibina di bangunan milik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau berkata, Kolej Komuniti Pendang akan menawarkan kursus yang berfokus kepada pastri.
“Menariknya juga di sini akan turut beroperasi kafe dan tempat pemprosesan bahan-bahan pastri.
“Pelajar-pelajar di sini juga boleh praktikal dan melakukan latihan industri terus di bangunan dan kawasan yang sama”, katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, petang ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke projek pembinaan Kolej Komuniti Pendang.
Katanya, KPT mahu melahirkan Kolej Komuniti Pendang yang akan menjadi pengeluar utama bahan-bahan pastri di sekitar Kedah dan kawasan sekitar serta graduan yang berkemahiran menghasilkan kreativiti dalam bidang pastri.
“Saya juga mengarahkan agar projek ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan memastikan kemas kini serta spesifikasi sepenuhnya dipatuhi”, katanya.-Berita RTM