Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima empat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu dalam masa terdekat.

Empat bangunan IPK itu adalah membabitkan kontinjen Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembangunan baharu itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM98 juta yang diperoleh PDRM menerusi Belanjawan 2024.

“Memadai saya sebut bahawa polis akan mendapat bangunan IPK baharu di Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Pahang serta dua buah bangunan IPD iaitu IPD Kapit dan IPD Padang Besar.

“Dalam projek ini turut membabitkan peruntukan lama dan peruntukan baharu akan digunakan untuk projek sambungan,” katanya dalam sidang media sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin berkata terdapat juga perancangan pembangunan lain yang ditentukan Jabatan Logistik Bukit Aman yang dibentangkan dalam Pelan Strategik PDRM.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk kerja-kerja penyelenggaraan perumahan anggota polis di seluruh negara.

“Kita (kerajaan) sentiasa peka dan prihatin dengan kebajikan setiap pegawai dan anggota polis yang berkorban demi keselamatan dan ketenteraman awam.

“Jadi kita juga harus memastikan mereka (anggota) dan keluarga mendapat manfaat atas jasa dan bakti mereka,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu Kementerian Dalam Negeri berjaya membaik pulih 121 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara dengan peruntukan RM45 juta serta penyelenggaraan pejabat dan tempat tinggal petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) membabitkan peruntukan RM40 juta.

Katanya, pembaikan dan naik taraf kuaters polis sedang berlangsung dengan rancak di seluruh negara.-BH Online