Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan menyelesaikan sebanyak 14,000 kes permohonan warganegara di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sehingga Disember tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata beliau yakin pihaknya mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan perkara itu sebagaimana yang dijanjikan.

Katanya, Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan merangkumi permohonan warganegara anak angkat, bayi yang ditemui sebelum diletakkan di rumah kebajikan dan anak tidak sah taraf.

“Berdasarkan statistik sejak 2013, KDN menerima 150,000 permohonan untuk mendapatkan warganegara membabitkan semua kategori.

“Saya (ketika menjawat menteri) sudah menyelesaikan 14,000 permohonan dan sehingga kini permohonan masih berbaki 49,000.

“Untuk kes Perkara 15A, saya berjanji akan menyelesaikan 14,000 permohonan sehingga 31 Disember ini,” katanya dalam episod Keluar Sekejap yang bersiaran semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk memastikan perkara itu dapat diselesaikan, beliau sudah membentangkan proses di mana tiga bulan 14 hari, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mesti menyelesaikannya sebelum diserahkan kepada KDN untuk diuruskan.

“Saya juga membentang panduan memproses kaedah proses permohonan warganegara kepada Jemaah Menteri,” katanya.-BH Online