Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Abdulaziz, di sini sempena lawatan Perdana Menteri ke negeri ini.
Berangkat sama Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Perdana Menteri tiba di istana berkenaan pada jam 3.40 petang, dengan pertemuan berlangsung kira-kira satu jam.
Anwar kemudiannya beramah-mesra dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebaik selesai pertemuan berkenaan.
Dalam lawatan sehari ini, Perdana Menteri turut dijadualkan mendengar sesi taklimat pembangunan negeri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di pejabat Setiausaha Kerajaan negeri.
Beliau kemudian dijadual melakukan jelajah mesra di bazar Ramadan Taman Kerang, serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota. – BERNAMA