Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Media memainkan peranan penting memberi pandangan, ulasan, pencerahan dan teguran dalam suasana demokrasi yang bermakna, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, media perlu bersama memainkan peranan mengangkat martabat umat dan negara serta melonjak pertumbuhan negara.

“Cuma seperti mana saya luahkan baru-baru ini, saya agak terkesan kerana isu besar negara, soal mengejar pertumbuhan lebih rancak, mendepani masalah seperti cabaran digital, peralihan tenaga, kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak muda dalam bidang tertentu, itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik.

“Mereka masih lagi terikat, terperangkap dalam tempurung, pemikiran jumud yang lapuk dan lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama petugas media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meraikan kira-kira 200 petugas media pada majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana di sini. 

Anwar yang lengkap berbaju Melayu tiba pada jam 7 malam disambut isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. 

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. 

Perdana Menteri berkata, usaha mengangkat martabat umat dan negara memerlukan ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan serta keprihatinan dalam menyantuni masyarakat.

“Saya harap mudah-mudahan dengan semangat Ramadan ini, sebagai madrasah Ramadan, dapat kita diikatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya.-BH Online