Pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini sudah mencapai 26.7 peratus.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata berdasarkan jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.
“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion, berdasarkan perancangan TUDM iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).
“Ia menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal dua tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi.
“Berdasarkan perancangan, LCA akan digunakan hingga 2045 berdasarkan dasar casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat FA-50M bagi kegunaan TUDM.
Pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama dari Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.
Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.
Pesawat itu adalah yang paling moden dan berkeupayaan berbanding varian diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.-BH Online