Kementerian Pertahanan sedang memuktamadkan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan semua kapal itu bakal mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan selepas proses perolehan selesai.
Katanya, dalam masa sama, pihaknya juga sedang memastikan pembinaan lima kapal tempur pesisir pantai (LCS) terus berjalan lancar.
“Kapal LMS ini perlu ditempah. Selepas proses perolehan, kita jangkakan ia akan dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun.
“Kita juga di peringkat kementerian kini akan memberi fokus kepada siapnya pembinaan LCS yang jadi perhatian ramai kerana peruntukannya yang besar.
“LCS sepatutnya sudah lama siap tapi tak siap, tetapi kali ini kita yakin ia akan dapat disiapkan.
“Kita juga berharap menjelang November 2024, LCS boleh mula menjalani ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’ bagi menguji ketahanan dan kemampuannya,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama 500 warga TLDM di Pangkalan TLDM Johor Bahru, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahary; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Pasukan Simpanan TLDM, Laksamana Pertama Azeman Yusoff.
Mengenai LCS, Mohamed Khaled berkata, terdapat tiga komponen yang diambil kira dalam pembinaannya.
Pertama, katanya, adalah reka bentuk manakala kedua pembinaan dan ketiga berkaitan peralatan atau kelengkapan kapal terbabit.
“Selepas semua lengkap baru boleh buat pengujian. Bagi reka bentuk memang pasti telah siap dan kemudian pembinaannya kalau mencapai lebih 80 peratus, maka dia akan ada kelengkapan semua.
“Dari segi elektrikal, sistem dan sistem persenjataan atau sebagainya, dilakukan di tempat lain. Kemudian apabila semua itu telah lengkap akan dilakukan ‘Sea Acceptance Trial’ yang dijangkakan November ini.
“Jadi LCS ambil masa dua tahun untuk fasa ‘Sea Acceptance Trial’. Kena uji dari segi ketahanan ombak supaya dengan reka bentuk ini, ianya selamat. Insya Allah tahun 2026 akan selesai,” katanya.-Harian Metro Online