Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Draf Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen sudah siap dan kini menunggu masa dibentangkan di Parlimen bersekali dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, diharapkan RUU akan dibentangkan serentak dengan pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan yang akan dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya sudah berbincang dengan Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri baru-baru ini, kalau boleh kita nak buat pindaan ini bersekali dengan pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang akan dibentangkan Menteri Dalam Negeri,” katanya menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai pelan hala tuju dan garis masa kerajaan untuk mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Azalina menjelaskan pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen perlu dilaksanakan bersekali dengan pindaan Perlembagaan berkaitan hak kewarganegaraan supaya dapat diluluskan dengan majoriti dua pertiga atau 148 undian daripada Ahli Dewan Rakyat.

null

“Saya yakin pindaan Perlembagaan itu akan mendapat sokongan ahli Parlimen dengan 222 undian kerana pindaan ini bukan saja memberi manfaat kepada rakyat tetapi kepada kita sebagai Ahli Parlimen.

“Apa yang kita tahu, kuasa ini (Akta Perkhidmatan Parlimen) pernah ada dalam negara dan ditarik balik pada 1993, kerana pada masa itu mereka menganggap Parlimen tidak boleh bersuara, tetapi kini Kerajaan Madani akan memastikan Parlimen mempunyai kuasa yang lebih dan boleh bersuara dan siapa saja yang menjadi kerajaan perlu bertanggungjawab melalui ahli Parlimen mereka,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai jaminan Akta Perkhidmatan Parlimen akan memastikan tiada campur tangan eksekutif kepada ahli Parlimen, peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang diberikan sama rata serta kuasa autonomi kepada Dewan Rakyat, Azalina menjelaskan melalui pindaan Perlembagaan dan penggubalan RUU berkenaan semua urusan berkaitan Parlimen adalah di bawah bidang kuasa Majlis Parlimen termasuk isu berkaitan peruntukan, hala tuju dan kebebasan ahli Parlimen .

Katanya, autonomi dan kebebasan ini akan dibincangkan di bawah Majlis Parlimen di Dewan Negara dan Dewan Rakyat walaupun ahli Dewan Rakyat kini terikat dengan parti dan Ketua Whip masing-masing.

“Dengan ada jawatankuasa pilihan, sekurang-kurangnya perbincangan dapat dimulakan dan Parlimen mempunyai peranan lebih tepat dan besar kepada ahli Parlimen menjalankan tugas, 

“Kita di sini , tidak kira pembangkang dan kerajaan kerana dipilih rakyat, pindaan undang belanjawan adalah duit ini duit rakyat, ahli bertanggungjawab kepada rakyat , permulaan perhubungan mewujudkan pindaan perlembagaan dan ini memulakan pelbagai lagi satu bentuk perhubungan yang baru antara Parlimen dengan pihak eksekutif. 

“Saya harap semua ahli Parlimen memainkan peranan positif dan berfikiran terbuka sebab dalam semua aspek perbincangan akan membabitkan ketua parti dan Ketua Whip di Dewan Negara dan Dewan Rakyat,” katanya

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, proses mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen perlu dipercepat bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.

Beliau berkata, usaha mentransformasi Parlimen itu juga penting bagi mengekalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

“Ia harus dipercepatkan. Peguam Negara sudah maklum (draf undang-undang), ada perkara yang sedang diteliti dan perlu dicerakinkan agar tidak ada sebarang masalah apabila kita bentangkan nanti,” kata Perdana Menteri.

Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963, namun dimansuhkan pada 1992. Akta itu membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya.-BH Online