Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau kini dalam siri memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen berkait syor meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak.
Beliau berharap, langkah itu dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul berkenaan cadangan meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang menerusi penguatkuasaan undang-undang.
“Saya yakin jika terus berpeluang beri penjelasan seperti ini, pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Maktab PDRM, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dilapor menyuarakan ikrar untuk membantah cadangan itu, terutama peruntukan yang mahu disekat Putrajaya mengenai hak anak-anak mendapat kerakyatan automatik.
Kata wakil rakyat PKR itu, tiada sebab untuk meminda peruntukan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbiar melalui undang-undang sedia ada yang disifatkannya baik, penuh rasa ehsan, timbang rasa dan kemanusiaan.
Hassan mempersoalkan mengapa kuasa menentukan kewarganegaraan bayi dirampas dari Perlembagaan Persekutuan untuk diserah kepada kuasa Menteri Dalam Negeri dan Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, Saifuddin Nasution mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan pada tahun ini baki 14,000 permohonan kewarganegaraan kategori anak luar nikah, anak angkat atau anak terbiar melebihi umur bayi.
Secara keseluruhan, terdapat 59,000 permohonan dikemukakan di bawah kategori itu sejak 2013, kata Saifuddin Nasution dan beliau bertekad menyelesaikan bakinya di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan sebelum 31 Disember depan.
“Daripada 59,000 permohonan itu, 35,000 telah diproses dan 98 peratus berjaya mendapat kewarganegaraan,” katanya.
Menurutnya, terdapat 142 permohonan kewarganegaraan bagi bayi terdampar atau ditemukan yang diluluskan sejak 2014 sehingga tahun lalu berdasarkan laporan polis, hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).-BH Online