Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbincangan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak dijangka selesai hujung tahun ini, kata Premier Abang Johari Openg.

Katanya, proses itu untuk membolehkan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan sendiri pada kadar tambang lebih berpatutan untuk rakyatnya.

“Masalah kita di Sarawak termasuk rakan kita di Sabah, harga tambang (tiket penerbangan) mesti naik setiap kali musim perayaan sama ada Raya, tahun baharu, Krismas mahupun cuti persekolahan.

“Mana tahan, setiap kali perayaan tambang naik. Pergi ke Kuala Lumpur sahaja lebih RM1,000…lebih baik pergi Hong Kong,” katanya menurut Utusan Borneo ketika berucap pada Majlis Penangguhan Festival Layang Layang Antarabangsa Kabong (KIKF) 2024 di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, Kabong, Sarawak.

Pada 27 Okt lalu, syarikat milik Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pemerolehan saham dalam MASwings Sdn Bhd bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.

Abang Johari berkata, MoU itu akan membuka jalan ke arah perbincangan lebih terperinci antara kedua-dua pihak untuk memastikan negeri itu mendapat pegangan majoriti dalam MASwings.

Beliau meletakkan sasaran pengoperasian penerbangan bermula 2024.

Katanya, kerajaan negeri mahu menjadikan Kuching sebagai hab utama syarikat penerbangan, selain mengembangkan laluan syarikat penerbangan itu ke destinasi serantau melibatkan kira-kira enam hingga tujuh jam perjalanan seperti Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan, dan India.-FMT