Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak RM300 juta sudah diluluskan tahun lalu secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah, kata Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, empat projek baru juga sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri Sabah.

“Kementerian juga sedang memohon penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi bagi tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

“Kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Selain itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan Sabah juga sudah diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Bung Mokhtar, beliau berkata peruntukan yang diluluskan di Sabah ketika ini lebih menjurus kepada kerja-kerja pembaikan dan penggantian paip air. 

“Sebab Sabah ini, salah satu cabarannyua adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi, lebih 50 peratus. Sebab itu, keutamaan kita adalah menggantikan paip yang mana kita akan berikan secara geran dan melaksana secara bersama dengan Sabah. 

“Ini diharapkan dapat mengurangkan NRW, tapi pada masa sama, Sabah itu sendiri kena ambil tindakan untuk mengurangkan NRW khususnya air-air yang dicuri dari sumber air dari bekalan air Sabah sendiri,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Fadillah berkata insiden kecurian air yang kerap berlaku di Sabah berupaya menjejaskan perancangan di peringkat negeri untuk mengatasi isu air. -BH Online