Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu integriti data dalam Sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) yang sedang dibangunkan tidak timbul memandangkan ia diambil sepenuhnya daripada pelbagai sumber kerajaan. 

Justeru, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata tindakan sesetengah yang pihak mempersoalkannya adalah tidak berasas sama sekali.

“Jika data (PADU) dikira tidak tepat, semua data dalam data kerajaan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Lembaga Zakat misalnya pun sama… tak tepat kerana maklumat itu datang daripadanya.

“PADU adalah satu cara kita menginstitusikan termasuklah dengan kemahiran data yang lebih tinggi supaya memudahkan kerajaan mengenal pasti, membersihkan dan mencapai mereka yang sebelum ini terkeluar daripada bantuan sepatutnya,” katanya pada Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan R Yuneswaran (PH-Segamat) apakah kerajaan sedar kebimbangan rakyat mengenai isu integriti data PADU yang sekali gus didakwa menyumbang kepada kadar pendaftaran yang masih rendah. 

Rafizi turut memperbetulkan persepsi salah sesetengah pihak mengenai kadar pendaftaran PADU yang dikatakan kurang mendapat sambutan. 

“Ada yang meluahkan kebimbangan mengenai kadar pendaftaran PADU dengan setakat 25 Februari lalu, 3.79 juta isi rumah sudah melaksanakannya.

“Kita tidak boleh bandingkan jumlah yang mendaftar atau mengemas kini PADU dengan melihat jumlah keseluruhan warganegara iaitu seramai 30 juta. Ini kerana (PADU) sebenarnya melihat kepada isi rumah. Jadi yang mengatakan pendaftaran PADU rendah, ia kurang tepat. 

“Isi rumah ketika ini adalah 7.9 juta dan itu pun belum diambil kira golongan bujang dan tidak berkeluarga. Itu juga dikira sebagai satu isi rumah. Jadi jumlah isi rumah dijangka naik kepada 9 juta,” katanya. 

Beliau berkata, PADU bukanlah platform baharu untuk mengumpul data rakyat, sebaliknya bertujuan membuat pengemaskinian isi rumah.

“Data ini semua telah ada, yang kita nakkan adalah ia dikemas kini apabila PADU dilaksanakan nanti. 

“Jadi, tak timbul kenapa ada (individu) persoal kenapa mereka tak dapat (bantuan kerajaan), sedangkan orang yang lebih berkemampuan, dapat bantuan. 

“Kita akan pastikan tempoh berbaki sebulan ini (sebelum tamat 31 Mac) dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seberapa banyak keluarga untuk melakukan kemas kini. 

“Mungkin ada yang masih menunggu hingga saat akhir, namun ia tidak mengganggu perancangan (kerajaan) bahawa semua data maklumat isi rumah ini mesti tersedia menjelang 31 Mac ini.

“Ia bagi membolehkan program sosioekonomi kerajaan dijalankan, seterusnya beralih kepada pendapatan boleh guna isi rumah bersih,” katanya.-BH Online