Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 709 atlet dan pegawai akan menyertai kontinjen Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, mereka menyasarkan 20 pingat emas berbanding pencapaian 17 emas, 11 perak dan 23 gangsa pada temasya edisi ke-20 di Kuala Lumpur.

Katanya, berdasarkan prestasi semasa dan persiapan awal atlet menerusi Majlis Sukan Negeri Melaka membolehkan pihaknya optimis pencapaian kali lebih baik berbanding sebelum ini.

“Ia juga berdasarkan beberapa sukan yang dilihat mampu menghadiahkan pingat emas termasuk dalam acara wushu dengan sasaran 11 pingat emas daripada keseluruhan.

“Antara sukan lain yang kita percaya boleh menghasilkan pingat emas adalah akuatik, gimnastik, gimrama, muaythai dan silat. Pada masa sama kami menjangkakan pingat emas mampu dipertahankan dalam acara angkat berat, selain beberapa sukan ‘underdog’ seperti berbasikal yang mampu memberi khabar gembira,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan bapa angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat SUKMA 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Auditorium Seri Negeri lewat petang semalam.-BH Online