Kestabilan politik, dasar ekonomi berpandangan jauh dan transisi hijau menyediakan peluang keemasan untuk melonjakkan ekonomi negara buat kali kedua selepas lonjakan pertama pada awal dekad 1990-an.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) Liew Chin Tong berkata, persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS) membawa masuk pelaburan ke rantau Asia Tenggara, dengan Malaysia antara yang meraih manfaat daripadanya.
“Apabila pelabur membuat perhitungan, mereka tahu Malaysia mempunyai logistik yang baik, kerangka Common Law yang adil, dan banyak pekerja fasih dalam beberapa bahasa di samping cukup berpendidikan.
“Ini peluang untuk Malaysia membuat lonjakan kedua. Lonjakan pertama berjaya dibuat pada awal dekad 1990-an apabila pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, gaji yang dibayar, dan peningkatan taraf hidup rakyat berada dalam suasana positif,” katanya.
Chin Tong berkata demikian menerusi catatan di blognya bertajuk “Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia” yang juga perkongsian ucapan beliau semasa sesi perbincangan Diskusi Madani: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024), baru-baru ini.
Menurutnya, melalui peluang itu Malaysia berpotensi mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara dan menetapkan sasaran yang lebih tinggi.
Dalam masa sama, katanya, Malaysia tidak perlu bersaing dengan negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia untuk menarik pelaburan, kerana kekuatan ekonomi negara telah meletakkan Malaysia tidak kurang daripada kemampuan Singapura.
Malahan dari segi perkhidmatan teknologi Malaysia tidak berada terlalu jauh di belakang Singapura malah kita mampu menyediakan perkhidmatan yang sama, katanya. – BERNAMA