Dasar mempromosikan Pelabuhan Klang sebagai satu-satunya National Load Centre tidak lagi terpakai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkembangan terbaharu ini akan menjelaskan pendirian kerajaan bahawa semua pelabuhan dalam negara penting dan berdaya saing.
Jelas beliau, keputusan untuk kapal singgah di mana-mana pelabuhan Malaysia dibenarkan dan ia tertakluk kepada ketetapan komersial sesebuah syarikat perkapalan.
“Selama ini banyak persepsi tidak tepat khususnya di Sabah di mana kapal asing tidak dibenarkan ke pelabuhan sana. Jadi lepas ini tidak ada lagi ada kekeliruan bahawa kerajaan hanya mementingkan Pelabuhan Klang,” Katanya ketika sidang media.
Dasar mempromosi Pelabuhan Klang sebagai National Load Centre telah digunakan sejak tahun 1990.
Menurut Anthony, kini Pelabuhan Klang mengendalikan kontena tempatan melebihi 6 juta TEU (bersamaan dua puluh kaki).
Sementara itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan hari ini membentangkan dua Memorandum Jemaah Menteri berkenaan Hala Tuju Pelaksanaan Dasar Kabotaj serta Peluasan Had Pelabuhan Desaru, Johor.
Katanya, kesemua keputusan melibatkan Dasar Kabotaj dijangka diwartakan pada Mei ini.
Beliau turut mengumumkan Dasar Kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak dilaksanakan semula.
“Langkah ini diambil atas permintaan Kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017,” katanya.
Namun tambah beliau, pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sabah dan Labuan dikekalkan berikutan pendirian kerajaan negeri tersebut.
“Ini pendirian kerajaan negeri ketika perbincangan, jadi kita hormat keputusan mereka,” menurutnya.
Tambahnya, semua kapal yang melaksanakan perkhidmatan kargo di perairan Malaysia perlu memohon Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) atas faktor-faktor keselamatan negara.
Jelasnya, proses permohonan DSL telah dipermudahkan dan lesen tersebut akan diproses dalam tempoh tiga hari.
“Perlu ditegaskan bahawa semua kapal asing boleh menyediakan perkhidmatan perkapalan secara terus (Direct Call) dari pelabuhan-pelabuhan asing ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengangkut barangan import atau eksport,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan cadangan peluasan Had Pelabuhan Desaru yang baharu, tertakluk kepada kajian Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, langkah peluasan diperlukan untuk memastikan kawalan keselamatan terhadap kapal-kapal yang berlabuh secara haram di kawasan perairan tersebut selain melaksanakan pemantauan dengan lebih baik. – MalaysiaGazette