Sorting by

×

Arahan dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian ko-kurikulum untuk sesi persekolahan akan datang, kekal walaupun beberapa negeri dilanda cuaca panas ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bagaimanapun pihaknya akan sentiasa mendapatkan pandangan dan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum sebarang keputusan lain dibuat.

“Setakat ini, garis panduan tersebut masih kekal seperti yang diumumkan Menteri (Fadhlina Sidek) pada Januari lalu (dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian ko-kurikulum).

“Pengumuman oleh Menteri itu masih terpakai. Walaubagaimanapun, sekiranya cuaca panas bertambah serius, kita akan berbincang dan dapatkan input daripada KKM sebelum satu keputusan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara di sebuah hotel, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang 12 kawasan mencatatkan suhu panas melebihi 35 darjah Celsius setakat semalam, Kah Woh berkata, keadaan itu masih lagi terkawal.

“Berdasarkan laporan yang diperolehi KPM, keadaan masih terkawal dan kita amat prihatin.

“Apa-apa pun kita akan dapat laporan terlebih dahulu daripada KKM dan MetMalaysia,”ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan, El Nino dengan intensiti kuat yang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Malah, pakar juga meramalkan bahawa purata suhu sepanjang El Nino adalah 35 darjah Celsius, namun di sesetengah kawasan seperti di Perlis, Kedah dan Kelantan suhunya mampu mencapai 40 darjah Celsius.

Berdasarkan laporan MetMalaysia semalam, sebanyak 12 kawasan di Semenanjung termasuk di Sabah mengalami cuaca panas tahap 1 di mana suhu harian melebihi 35 darjah Celsius.

Ia melibatkan kawasan sekitar Perlis, Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang di Kedah

Turut terlibat adalah kawasan sekitar, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar di Perak serta Beaufort di Sabah. – KOSMO! ONLINE