Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia melancarkan Pavilion Malaysia dengan tema ‘Mempercepatkan Hubungan Esok’ pada penampilan sulung negara dalam Kongres Dunia Mudah Alih 2024 (MWC 2024) yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia yang mana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjadi agensi pelaksana bagi Pavilion Malaysia itu.

Pavilion Malaysia pada MCW 2024 disertai pempamer daripada sektor komunikasi Malaysia bagi membuka peluang negara menyerlahkan komitmen dan ketersediaan menjadi hab inovasi dalam sektor komunikasi.

Fahmi dalam ucapan pelancaran berkata, tema Pavilion Malaysia mencerminkan komitmen Malaysia untuk memacu pembangunan dan inovasi yang kini bergerak pada kelajuan luar jangka.

“Kami menyasarkan Malaysia kekal berada di barisan hadapan kemajuan teknologi.

Komitmen Malaysia terhadap inovasi dan kemajuan teknologi komunikasi telah terbukti melalui pelbagai usaha dalam mencapai 100 peratus liputan internet dan kejayaan pelaksanaan teknologi 5G,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Pada MCW 2024 beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani dengan tumpuan kepada bidang utama strategik, namun tidak terhad kepada penyelesaian 5G bertaraf dunia, percubaan lapangan termaju 5G serta pembangunan bakat dalam industri komunikasi.

Fahmi berkata sehingga penghujung 2023, 8.4 juta premis Malaysia sudah memperoleh akses internet berkelajuan gigabit dan purata kelajuan jalur lebar amat membanggakan mencecah 178.1 Mbps, selain liputan rangkaian di kawasan berpenduduk dicatatkan 97.07 peratus.

“Satu lagi kejayaan membabitkan pelaksanaan 5G adalah apabila Malaysia mengambil pendekatan menubuhkan Syarikat Tujuan Khas (SPV) bagi mempercepatkan proses pelaksanaan 5G.

“Hasilnya, Malaysia kini mencatatkan 80.2 peratus liputan rangkaian di kawasan berpenduduk. 

“Berdasarkan data Speedtest Intelligence Ookla, pada suku keempat 2023, Malaysia menduduki tangga ketiga peringkat global bagi kelajuan muat turun 5G, iaitu 451.79 Mbps yang meletakkan Malaysia mendahului negara jiran di Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya.

Menurut data Ookla, Malaysia kini berada di kedudukan pertama di seluruh dunia 

untuk Skor Konsistensi 5G pada tahap 97.27 peratus. 

Skor tersebut adalah metodologi khusus Ookla untuk mengukur kelajuan yang memenuhi kedua-dua kriteria – muat turun dan muat naik – masing-masing 25 Mbps dan 3 Mbps.

Fahmi juga berkata Malaysia kini bersedia untuk beralih kepada model dwi-rangkaian dan memacu inovasi serta meningkatkan prestasi rangkaian mudah alih.

Malaysia juga tegas beliau melakar kejayaan apabila baru-baru ini Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) melaporkan negara memperoleh skor cemerlang 94.5 daripada 100 dalam Indeks Pembangunan ICT 2023.

“Skor ini menjangkau purata global yang membolehkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 di peringkat global dan ketiga di rantau ASEAN,” katanya.-BH Online