Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli Parlimen kerajaan memperjelas isu rakyat dalam sidang Dewan Rakyat bermula esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ahli Parlimen kerajaan berbincang pagi tadi dalam mesyuarat prapersidangan.

“Terdapat beberapa isu dan rang undang undang baharu yang harus disantuni oleh ahli Parlimen, dan harapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kali ini, ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan akan berhujah dengan lebih berfakta dan lebih berdasarkan bahan kajian

“Kita tahu pihak pembangkang pastinya akan membangkitkan banyak isu lama dan baharu tetapi kita akan tangani dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas perasmian program Penggerak Wanita RISDA, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pesanan Anwar itu akan memberikan imej yang lebih baik kepada ahli Parlimen kerajaan MADANI.

Beliau berkata, Perdana Menteri turut meminta supaya pada tahun 2024 dan seterusnya, kerajaan MADANI harus menangani isu rakyat seperti hal perundangan, bahan makanan dan juga kejatuhan ringgit.

“Ini harus diperjelas dan usaha-usaha yang baharu harus dilakukan terutamanya melibatkan pelaburan sebanyak RM329 bilion.

“(Pelaburan ini) akan memberikan peluang pekerjaan dan ini tentunya akan menambahkan eksport negara dan secara tidak langsung soal kejatuhan ringgit akan dapat diatasi dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Minggu lalu, Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

Dalam ucapan di Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Anwar berkata, landskap pelaburan negara yang memperlihat prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran kerajaan MADANI.

Pelaburan asing penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan tempatan sebanyak 42.8 peratus.

Jumlah pelaburan yang diluluskan membabitkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).-BH Online