Sorting by

×

Kerajaan merancang menganjurkan persidangan utama ekonomi Islam yang menjangkau amalan tradisional dalam beberapa bulan akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, asas-asas perundangan Islam tidak boleh diabaikan tetapi pada masa yang sama, wacana ekonomi Islam tidak seharusnya hanya tertumpu kepada subjek perbankan dan kewangan tertentu.

“Jadi saya minta mereka (bank-bank Islam) berbincang tentang perkara tersebut kerana dalam beberapa bulan akan datang, mungkin hujung Mei ini. Insya-Allah kita berhasrat untuk mengadakan persidangan utama ekonomi Islam,” katanya semasa merasmikan Kuliah MADANI, di sini, hari ini.

Anwar berkata, semasa memperkenal falsafah MADANI kepada negara, beliau mengambil kira teras Maqasid Syariah kerana matlamat, niat dan objektif berkaitan dan ia merangkumi semua.

Perdana Menteri berkata, semasa Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (CIEF) yang diadakan baru-baru ini, beliau menggesa institusi kewangan Islam agar bukan hanya semata-mata memperkenal instrumen Islam sahaja tetapi juga melihat isu teras yang mempengaruhi masyarakat Islam, termasuk kemiskinan tegar, ketidaksamaan, penyertaan wanita dalam ekonomi, perubahan iklim, peralihan tenaga dan transformasi digital.

“Bagaimana wacana bank-bank Islam boleh mengabaikan isu transformasi digital, atau peralihan tenaga, atau keperluan untuk menghasilkan lebih banyak lagi dari segi keterjaminan makanan?” tanya beliau.

Maqasid al-Shariah ialah istilah yang merujuk kepada pemeliharaan keamanan, pencapaian kemaslahatan dan pencegahan kemudaratan atau kerosakan, dan penetapan persamaan dalam kalangan manusia bagi memastikan undang-undang dihormati, dipatuhi dan berkesan serta membolehkan ummah menjadi perkasa, dihormati dan berkeyakinan.

Sementara itu, syarahan MADANI disampaikan oleh Prof Jasser Auda, seorang ulama Islam dengan sumbangan terbarunya ialah Metodologi Maqasid Baharu yang bertujuan untuk melaksanakan penstrukturan semula keilmuan Islam dalam rangkaian objektif tinggi yang lebih kompleks. 

Beliau Presiden Maqasid Institute Global, badan pemikir yang berdaftar dan menjalankan projek penyelidikan dan pendidikan di beberapa negara.

Jasser berkongsi pandangannya tentang metodologi Maqasid dan mengulas mengenai rangka kerja MADANI. – BERNAMA