Tahun 2024 akan tertumpu kepada pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI dan semua dasar yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun lepas, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kerajaan telah meletakkan garis panduan yang jelas bagi kemajuan ekonomi.
“Kami yakin kami akan berupaya mengharungi perjalanan untuk melaksanakan kerangka Ekonomi MADANI tahun ini dan semua dasar yang kita umumkan pada tahun lepas,” katanya dalam temu bual pertamanya sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata terdapat isyarat bahawa persekitaran inflasi global menjadi lebih stabil, yang akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi global, termasuk Malaysia.
“Malaysia dijangka berada di landasan bagi meraih pertumbuhan dan Kementerian Kewangan yakin ekonomi Malaysia akan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2024 meskipun berdepan cabaran global,” kata Amir Hamzah.
Pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun ini juga akan dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang mampan, katanya.
Amir Hamzah berkata pada 2023, kerajaan telah menetapkan strategi yang berkesan dari segi bagaimana ia akan melaksanakan kemajuan, dan dengan itu memperkenalkan kerangka Ekonomi MADANI.
Di bawah kerangka itu, kerajaan telah mewujudkan dasar yang kukuh seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
“Idea keseluruhannya adalah bagi mendapatkan hala tuju lebih jelas yang ingin dicapai supaya setiap orang yang berhasrat datang (dan melabur) di Malaysia jelas mengenai fokus negara ini,” katanya.
Menyangkal dakwaan mengenai ketidakupayaan kerajaan MADANI untuk memulihkan ekonomi, Amir Hamzah berkata ekonomi Malaysia merupakan ekonomi terbuka yang banyak dipengaruhi oleh persekitaran luaran.
“Anda tidak boleh menggunakan satu ukuran sebagai isyarat sama ada ia lebih baik atau lebih buruk. Anda memerlukan sedikit masa untuk melihat sama ada terdapat penambahbaikan dalam keseluruhan aspek.
“Anda perlu memberikan masa kepada strategi Ekonomi MADANI untuk dilaksanakan dan pada masa sama, keutamaan segera untuk diselesaikan,” katanya.
Amir Hamzah berkata, rakyat Malaysia perlu menghargai kepentingan struktur tadbir urus yang lebih baik untuk negara.
“Perjuangan menentang rasuah dan dorongan untuk meningkatkan kecekapan bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan dan mekanisme penyampaian yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya. – Bernama