Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan pemilik tapak projek pembinaan sebuah hotel, yang menjadi punca gangguan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di sini, termasuk menuntut pampasan berjumlah RM38 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, amaun tuntutan itu, melibatkan kos baik pulih kerosakan struktur di beberapa jejambat LRT dan kos operasi pelan kontingensi melibatkan penyediaan bas perantara.
Beliau berkata, keputusan bagi menuntut segala pampasan dan tindakan undang-undang hanya selepas semua proses pembaikan selesai dilaksanakan, bagi memastikan gangguan perkhidmatan dapat diselesaikan sesegera mungkin.
“Ini arahan yang kementerian terima, kerana jika kita ambil tindakan lain seperti tuntut pampasan dahulu, baru fikir nak baiki, gangguan akan berlanjutan lebih lama dan ini akan lebih menyusahkan pengguna, kena ingat stesen ini tutup dah lebih setahun lalu (27 Februari 2023).
“Jadi kerja-kerja pembaikan yang bermula Mac tahun lalu berjaya disiapkan pada Disember lepas, sebelum melalui beberapa siri ujian bagi tujuan keselamatan rel dan pematuhan piawaian, sebelum kita buka sepenuhnya semula operasi hari ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi pembukaan semula Stesen LRT Bandaraya di sini. – Bernama