Sorting by

×

Pemantauan dan persediaan berskala tinggi sentiasa dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di semua kawasan perairan sempadan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi memastikan kedaulatan negara terjamin, menghalang pencerobohan kapal perang negara lain, penyeludupan migran dan ancaman lanun ke negara ini.

Beliau berkata operasi ATM sama ada di udara, darat dan laut diatur gerak 24 jam setiap hari di semua pos kawalan seluruh negara.

Ketika ini, kemasukan etnik Rohingya yang paling ramai dikesan memasuki Malaysia.

“Kita ini negara maritim, kita punya sempadan-sempadan dengan banyak negara dan kita punya pantai panjang. Ada pelbagai operasi, bukan satu sahaja. Setakat hari ini, kita sentiasa bersedia untuk memastikan ‘ops-ops’ ini berjalan dan kita dapat melakukan pencegahan”, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pertandingan Muay Thai di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Aset-aset ATM juga sentiasa dikemas kini bagi memantapkan kawalan di semua pintu masuk negara.-Berita RTM