Sorting by

×

Malaysia dan Brazil sepakat untuk bekerjasama rapat bagi mempromosi dan melindungi kepentingan negara-negara membangun, khususnya dalam membasmi kemiskinan dan kebuluran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan hasil interaksi beliau bersama dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, melalui perbualan telefon.

“Dalam perbualan ini, kami nyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat bagi mempromosi dan melindungi kepentingan negara-negara membangun, khususnya dalam membasmi kemiskinan dan kebuluran.

“Kami turut senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara khususnya dalam bidang pengurusan hutan, sektor tenaga hijau, perubahan iklim, industri halal, sains dan inovasi,” katanya melalui muat naik di platform X hari ini.

Anwar berkata, melalui perbualan sama beliau mengambil peluang mewakili rakyat Malaysia untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Lula atas sokongan tegas Brazil kepada Palestin.

Katanya, beliau turut menerima undangan bagi mengadakan lawatan rasmi ke Brazil pada November nanti.

“Semoga hubungan Malaysia dan Brazil akan terus diperkukuh demi manfaat bersama,” katanya.-BH Online