Sorting by

×

Sebanyak RM162.5 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang bagi meningkatkan syiar Islam di negeri itu tahun ini.

Antara tumpuan diberikan adalah program Pendidikan Tahfiz Al-Quran untuk anak-anak Pahang bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga ke peringkat Diploma.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program perintis Tadika Tahfiz Negeri Pahang yang bermula dengan satu cawangan pada tahun 2018 di daerah Pekan kini mempunyai 21 cawangan di seluruh negeri.

Selain itu silibus Pendidikan Tadika Tahfiz Negeri Pahang turut diguna pakai di peringkat pusat dan kini berkembang kepada 4,000 Tabika Kemas seluruh Negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Maahad Tahfiz Negeri Pahang Cawangan Lipis di Kampung Bapong.

Kompleks Maahad Tahfiz itu didirikan di atas tapak berkeluasan 1.62 hektar dengan kapasiti 150 pelajar untuk aliran menengah yang dijangka siap pada April 2026 dengan jumlah kos sebanyak RM15 juta.-Berita RTM