Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, tol percuma diberikan kepada pengguna lebuh raya selama dua hari bermula 8 dan 9 Februari ini.

Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemberian tol percuma akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pukul 12.01 tengah malam, 8 Februari dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 9 Februari.

Sebanyak RM42.99 juta diperuntukkan kerajaan bagi kos perbelanjaan kemudahan berkenaan.

Pengecualian tol diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara. Ia melibatkan Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.-Berita RTM