Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sampul ‘angpau’ berisi sejumlah wang yang ditemui dalam lokar seorang anggota di Balai Polis Setapak dalam pengawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kelmarin, adalah kesalahan serius.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tindakan anggota polis menerima wang atau imbuhan ketika bekerja boleh dipersoalkan dan dikaitkan dengan rasuah.

“Saya puji tindakan pihak Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang menjalankan pemeriksaan ke atas anggota Balai Polis dalam daerah Wangsa Maju itu.

“Ini menunjukkan saranan saya pada 1 Februari lalu mula membuka mata pegawai dan anggota di peringkat penyelia,” katanya dalam sidang media di Persada PLUS di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina ke-21 bermula 8 Februari hingga 13 Februari ini.

Razarudin berkata, JIPS sudah mula mengambil tindakan berlandaskan saranan terhadap semua penyelia.

“Dalam kes ini (Balai Polis Setapak) penyelia bertugas tidak menjalankan tugas seperti sewajarnya.

“Penyelia yang baik akan buat pemeriksaan dan bukannya ada penemuan angpau,” katanya.

Seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) penugasan, katanya, penyelia perlu memeriksa buku poket anggota serta jumlah wang saku tidak boleh melebihi RM100.

“Contohnya, jika anggota mengisytiharkan jumlah wang sakunya RM100 ketika keluar bertugas tetapi kembali ke Balai Polis dengan RM400 kerana mengeluarkan wang dari bank pada hari gajinya dalam perjalanan kembali ke balai, ia tidak menjadi kesalahan selagi ada bukti resit pengeluaran.

“Kalau ada anggota polis yang bercuti dan meraikan Tahun Baharu Cina di rumah rakan lalu diberi angpau, itu adalah situasi lain dan dia tidak bekerja,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, seorang sarjan polis dikenakan tindakan Kertas Enkuiri Polis (KEP) selepas dikesan menyembunyikan sampul angpau dalam beg dan lokarnya berjumlah RM6,289 ketika serbuan oleh JIPS Bukit Aman.-BH Online