Keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda kepada Datuk Seri Najib Razak adalah dibuat berdasarkan pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan bukannya soal undang-undang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya semua kritikan dan kecaman dan pandangan berhubung keputusan itu dihentikan.
“Pertimbangan utamanya adalah soal ihsan, belas kasihan atau apa yang disebut oleh bekas Yang di- Pertuan Agong itu sebagai mercu keihsanan atau ‘fountain of mercy’.
“Sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk memberikan penjelasan atau tidak, itu wawenang (hak) Tuanku,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapur, di sini.
Anwar menjelaskan demikian berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, juga mengumumkan denda perlu dibayar Najib, dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh pemenjaraan Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.
Dalam pada itu, Perdana Menteri terus menyatakan komitmennya bahawa kerajaan kini tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah.
Anwar berkata, perbuatan rasuah haruslah dibenteras bermula daripada peringkat atasan tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Kalau diambil tindakan kepada kelompok kecil itu bagaimana kita nak biarkan rasuah berskala besar itu tanpa apa-apa bentuk tindakan. Jangan tanya saya.. saya beri arahan umum kepada semua jabatan kepada semua penguatkuasaan, sementara kita ada tekad politik dalam jemaah menteri,” katanya sambil menasihati seluruh kakitangan awam untuk bekerjasama dan berwaspada dalam usaha membenteras kegiatan rasuah.-Berita RTM