Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Satu kaedah kawal selia perlu diwujudkan ke atas semua platform media sosial di Malaysia melibatkan isu keselamatan dalam talian, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan mengadakan satu pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya risau keselamatan kepada kanak-kanak. Jadi, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan selaraskan bersama beberapa kementerian.

“Ia untuk melihat dari segi perundangan yang mungkin kita pinda ataupun wujudkan dan tindakan-tindakan segera yang boleh kita laksanakan,” kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media selepas sesi Forum Pemerkasaan Belia 2024 di ibu kota, hari ini.

Tambahnya, pertemuan bersama pengendali platform media sosial juga akan dilakukan dalam masa terdekat
bagi membincangkan isu sama selain memastikan pematuhan kepada undang-undang sedia ada.

Fahmi turut menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengawal selia penggunaan media sosial anak-anak dan perkara tersebut juga akan diselaraskan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).-Berita RTM