Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) selama dua hari bermula esok di Luang Prabang, Laos.
Wisma Putra menerusi kenyataan berkata Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN itu merupakan mesyuarat berjadual yang pertama bagi Negara-negara Anggota ASEAN.
“Laos merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2024.
“Pemukiman AMM itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Laos Saleumxay Kommasith, dengan penyertaan Menteri-menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Timor-Leste sebagai Pemerhati ASEAN.
“Pengerusi ASEAN dijangka memberi taklimat mengenai keutamaan dan keberhasilan kepengerusian Laos bertema “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience”,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, menteri-menteri Luar akan membincangkan pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang telah dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 pada September 2023 di Jakarta, hubungan luar ASEAN, serta pertukaran pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
“AMM akan memberi peluang baik kepada Malaysia dan anggota ASEAN lain untuk mengukuhkan usaha ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Ini menjadi semakin penting berikutan pelbagai cabaran yang semakin rumit kesan daripada dinamik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global,” tambah kenyataan itu.
Menteri Luar juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala.-Berita RTM