Kerajaan komited terhadap penetapan dan pemaparan harga ubat secara telus kepada pengguna, jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Katanya, ia memberi hak kepada pengguna untuk membuat pilihan serta membandingkan harga.
Beliau mengulas mengenai jangkaan peningkatan harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal di negara ini sekitar lima hingga 10 peratus.
“Kami sedang menelitinya (dan) dalam proses perbincangan (tetapi) apa yang paling penting adalah ketelusan dalam harga. Ketelusan untuk kita dedahkan harga itu memang kita mahukan.
“Yang lain masih dalam pertimbangan kami (termasuk) yang terkait dengan soal kawalan harga dan sebagainya. Kita belum buat apa-apa keputusan dan pendirian.
“Tetapi kita mahukan adalah paparan harga yang jelas dan telus supaya pembeli (atau) pengguna punya hak membuat pilihan (dan) keupayaan membanding-bandingkan harga, itu penting,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Kesihatan (KKM), semalam.
Terdahulu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Profesor Amrahi Buang dilaporkan berkata, ramalan peningkatan harga ubat-ubatan bakal berlaku sekiranya syarikat pembuatan di Amerika Syarikat bertindak menaikkan harga pasaran susulan lebih separuh produk farmaseutikal yang memasuki Malaysia adalah diimport dari negara berkenaan.