Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Buat julung kalinya Pusat Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE) memperkenalkan Anugerah Global Madani bagi mengangkat sumbangan masyarakat tempatan atau antarabangsa yang menjalankan transformasi mengikut enam tonggak MADANI.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata anugerah berkenaan diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, besar harapannya dengan penganjuran anugerah itu ia dapat memperkenalkan konsep MADANI di mata dunia.

“Peluncuran anugerah ini bukan sahaja kepada masyarakat dalam negara tetapi ia juga terbuka kepada negara asing yang menjalankan transformasi dengan menerapkan nilai-nilai MADANI.

“Ia termasuklah mereka yang pentingkan alam sekitar, ambil berat antara satu sama lain, ada sifat ihsan, mampu mencipta kemakmuran bersama dan menumpukan kepada keseluruhan agenda bagi membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Dengan adanya tonggak berkenaan, kita dapat tumpukan membina negara, bangsa yang lebih aman, makmur dan sejahtera. Itulah perkara yang perlu diterjemahkan oleh setiap individu dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah Global Madani, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Ketua Perwakilan Asing serta delegasi kedutaan antaranya dari Republik Czech, Mauritius, Hungary, Kerajaan Jordan, Republik Guinea, Kazakhstan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Somalia dan Algeria.

Enam tonggak MADANI meliputi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata idea mengenai MADANI seharusnya dimulakan sekarang untuk dibawa ke peringkat antarabangsa terutamanya negara ini akan memimpin ASEAN pada tahun 2025.

“Diharapkan sempena setahun kerajaan MADANI, orang ramai dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk memilih tokoh, kumpulan mahupun organisasi yang cakna dalam melaksanakan enam tonggak Malaysia MADANI,” katanya.

Tambahnya, anugerah berkenaan mempunyai satu objektif yang jelas iaitu untuk menghargai dan merakamkan penghargaan kerajaan kepada mereka yang memberi sumbangan besar dalam melaksanakan tonggak Malaysia MADANI.

“Kami yakin pengiktirafan yang diberikan kepada individu dan personaliti terbabit akan menyuntik rasa dihargai dan yang lebih penting, rasa tanggungjawab di mana kerja mereka untuk melaksanakan enam tonggak Malaysia MADANI mesti diteruskan tanpa henti dan terus memberi inspirasi kepada orang lain.

“Dengan itu, cita-cita Malaysia MADANI dapat diterjemahkan secara holistik dan seterusnya difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“Sebagai badan pemikir, ini adalah peluang terbaik untuk Yayasan PEACE dalam membantu kerajaan untuk mempromosikan gagasan Malaysia MADANI kepada semua lapisan masyarakat dan semua rakyat Malaysia,” katanya.-BH Online