Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penganjuran perhimpunan tanpa makluman turut mengheret pihak istana merupakan satu tindakan tidak wajar dan diberi perhatian serius oleh kerajaan kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pihak polis akan memanggil pihak penganjur serta beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan di luar pintu Istana Negara, semalam.

Saifuddin berkata tindakan pihak penganjur yang tidak memaklumkan kepada pihak polis bagi memohon kebenaran sebelum menganjurkan perhimpunan tersebut jelas melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).

“Jadi umpamanya tidak memaklumkan kepada pihak polis, maksudnya dia tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kalau itu mengundang tindakan pihak polis umpama memanggil penganjur, pihak penganjur tidak boleh berpura-pura menjadi mangsa sebab keengganan mereka untuk melakukan perkara paling asas iaitu memaklumkan atau memohon untuk melakukan perhimpunan tidak berlaku,” katanya dalam sidang media khas di sini.

Menurut Saifuddin pihaknya menerima laporan daripada pihak istana beberapa jam sebelum perhimpunan itu diadakan susulan dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap beberapa individu untuk masuk ke istana bagi menyerahkan dokumen berkaitan perhimpunan terbabit.

“Merujuk perhimpunan semalam pihak pegawai istana negara membuat laporan polis pada 22 hari bulan beberepa jam sebelum perhimpunan berlaku dengan secara jelas aduan itu dimaklumkan pihak istana tidak pernah disebut bahawa memberi perkenan untuk terima mengadap,” katanya.

Pada masa sama Saifuddin turut menjelaskan kerajaan tidak menghalang sebarang perhimpunan selagi ia dilaksanakan secara aman dan mematuhi peraturan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012).

Jadi tidak timbul isu bahawa Kerajaan MADANI menghalang rakyat untuk mengadakan perhimpunan kerana sebanyak 78 permohonan untuk berhimpun telah dibenarkan setelah kesemuanya mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 sepanjang tahun lepas dengan kertas siasatan dibuka tanpa ada pertuduhan di mahkamah.-Berita RTM