Polis dijangka mengambil keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, berhubung kenyataannya bahawa masyarakat India di negara ini masih tidak setia sepenuhnya kepada Malaysia
Difahamkan, beberapa pegawai dari Bukit Aman akan merekodkan percakapan bekas Perdana Menteri itu di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, pada jam 11 pagi.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India, mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.
Kenyataan Dr Mahathir itu dikritik beberapa pemimpin politik dan aktivis di Malaysia.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam dan menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Beliau diketahui mengeluarkan kenyataan sedemikian, baginya, semua orang Melayu malas, kecuali dirinya sendiri. Dan orang India dan Cina Malaysia tidak setia melainkan jika mereka adalah kroninya,” katanya seperti dilaporkan.-BH Online