Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara. 

Istana Negara berkata, sesi mesyuarat itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ini kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan berakhir 30 Januari ini. 

“Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali dengan empat Perdana Menteri, termasuk sesi hari ini.

“Mesyuarat pra-Kabinet yang pertama dihadiri baginda adalah pada 13 Februari 2019. Turut hadir pada sesi hari ini pula, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali,” katanya dalam Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Istana Negara berkata, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkaitan urusan dan isu berkaitan kerajaan.