Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lebih 5,000 peluang pekerjaan berkualiti bakal dinikmati veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh dua tahun menerusi program Veteran MyWIRA.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif Veteran MyWIRA yang digerakkan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu merupakan intervensi yang direka bagi memudahkan veteran ATM memperoleh kerjaya baharu selepas bersara.

Menerusi inisiatif berkenaan, penilaian maklumat akan dibuat melalui pangkalan data pintar bagi memadankan pekerjaan yang sesuai kepada calon berdasarkan pengalaman, minat dan kemahiran.

“Program ini akan membantu dalam peralihan kerjaya daripada dalam perkhidmaatan tentera kepada pasaran kerja dengan fokus membantu mereka mendapat pekerjaan bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka selepas bersara.

“Sasaran kita menyediakan lebih kurang 5,000 pekerjaan berkualiti diseluruh negara kepada golongan itu dalam tempoh setahun dua selepas projek rintis ini.

“Ini kerana kita ada lebih kurang 6,000 pesara tentera yang bersara setiap tahun,”katanya dalam sidang media selepas melancarkan inisiatif Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Setia di sini.

Hadir sama pada pelancaran itu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Program perintis veteran MyWIRA dengan kerjasama Micron akan menyediakan latihan sambil bekerja untuk veteran ATM mulai Mac 2024, dengan penglibatan seramai 25 hingga 50 orang calon yang terpilih untuk ditawarkan pekerjaan dari Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron).-Berita RTM