Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin masyarakat India agar tidak terbawa-bawa dengan sentimen melampau yang tidak menguntungkan negara.

Anwar berkata, semua kaum di negara ini mahu masalah mereka diselesaikan segera. Dalam menghadapi masalah tersebut kerajaan menggunakan konsep MADANI yang adil untuk semua pihak.

“Untuk menyelesaikan masalah kaum India, kita bukan sahaja memberikan peruntukan RM100 juta melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sahaja sebaliknya kita juga selesaikan melalui program lain seperti tandas sekolah, kemiskinan tegar, rumah penjawat awam dan RM30 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

“Saya meminta semua ementerian termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perpaduan mengenal pasti masalah rakyat tanpa mengira kaum.

“Polemik boleh diteruskan, kritikan dibolehkan tetapi jangan mendengar hujah yang melampau dan bersifat perkauman, yang keterlaluan dalam negara kita, baik Melayu, Cina atau India, saya tidak peduli,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang @ Padang Chetty di sini malam ini.

Katanya, ketika ini kerajaan masih belum menyelesaikan semua masalah yang dihadapi kaum, tetapi empat perkara utama iaitu kemiskinan, pendidikan, kesihatan rakyat dan peluang perniagaan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

Malah katanya, jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya juga hadir dengan tanggungjawab yang besar dan disebabkan itu, dasar kerajaan yang jelas perlu ada.

Sementara itu, Anwar juga berkata selepas kerajaan berjaya membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, beliau kini menunggu laporan lengkap dari Selangor dalam tempoh dua minggu berkenaan perkembangan sama.-Berita RTM