Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan penyokong skuad Harimau Malaya sebagai antara yang terbaik di dunia.

Hannah menjelaskan, ia berdasarkan pengorbanan dan sokongan padu yang diberikan penyokong terhadap Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Qatar.

Beliau menjangkakan sokongan daripada penyokong Harimau Malaya akan lebih hebat dalam aksi kedua Kumpulan E menentang Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, esok dengan ramai penyokong yang baru tiba di Doha, hari ini.

“Saya tiba hari ini untuk melihat persiapan Harimau Malaya bagi melawan Bahrain, esok dan kita jangkakan sokongan penyokong Harimau Malaya akan jadi lebih (hebat).

“Saya berasa pasukan Harimau Malaya ini mempunyai penyokong terbaik di dunia. Ramai yang datang dengan kos sendiri dan ambil cuti untuk datang menyokong pasukan,” katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke padang latihan Harimau Malaya, di sini, hari ini.

Penyokong Harimau Malaya teruja apabila melihat skuad negara beraksi di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

Selain itu, Hannah menyifatkan penyertaan Harimau Malaya di Piala Asia 2023 sebagai pengalaman yang terbaik buat barisan pemain negara.

“Ini satu tugasan yang sangat penting untuk pengalaman pasukan Harimau Malaya kerana kali pertama dalam 42 tahun mereka dapat layak secara merit.

“Dalam pesanan saya kepada pasukan, mereka kena buat yang terbaik bukan untuk negara sahaja, tetapi diri mereka sendiri dan keluarga,” katanya.-BH Online