Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA 2024) dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

Kerajaan telah menambah baik program sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.

Menerusi satu kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program yang bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari depan itu menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.

Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,”katanya.

Jelasnya, penambahbaikan SARA untuk tahun 2024 termasuk memperluas penerima yang layak, meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023 selain kadar untuk golongan bujang kekal RM600 serta memperluas penggunaan kredit program SARA kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.

Beliau berkata, kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi Kerajaan.

“Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Januari 2024 (Isnin) bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula 19 Februari 2024 (Isnin).

“Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Manakala penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 (Isnin) dan 12 Ogos 2024 (Isnin) melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,”katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.

“Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program SARA,”katanya.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA hanya boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my mulai 4:00 petang, 19 Januari 2024 dan maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui pautan https://www.mykasih.com.my mulai 22 Januari 2024.-Berita RTM