Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa atlet Program Podium supaya menunjukkan semangat juang tinggi dalam memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hannah berkata, ini memandangkan atlet negara sudah kesuntukan masa bagi menempah slot kelayakan ke temasya terbesar dunia itu dan sudah tentunya mereka perlu lebih serius untuk mengambil peluang dalam kejohanan kelayakan.

“Saya hanya nak semua atlet podium kita, bukan hanya badminton kerana sekarang kita sudah menandatangani kontrak dalam bentuk gaji dengan semua atlet,” kata Hannah ketika mengulas mengenai prestasi pemain negara pada Kejohanan Badminton PETRONAS Terbuka Malaysia 2024.

Hannah yang ditemui media selepas majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2024 malam tadi turut berkata: “Mereka kena lihat yang latihan sahaja tidak cukup, semua rakyat Malaysia mendoakan mereka… nak tengok hasil.

“Kita tak banyak masa lagi sebelum ke Sukan Olimpik Paris. Saya nak semua bertungkus lumus untuk pastikan mereka layak dan keduanya, mereka betul-betul serius mengambil peluang ini kerana peluang ini bukan semua orang dapat dan bukan semestinya boleh pergi kali kedua nanti di Los Angeles.

“Itu sebabnya mereka kena ambil peluang ini dan betul-betul serius dalam latihan,” tambahnya.

Cabaran Malaysia di PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tewas di tangan lawan masing-masing di suku akhir.

Untuk rekod, ia adalah edisi kedua berturut-turut yang menyaksikan Malaysia tidak mempunyai wakil layak beraksi di separuh akhir selepas tahun lalu menyaksikan Ee Yi-Yew Sin dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga terkandas di suku akhir.-BH Online