Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan pas langganan OKU SMILE khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Prasarana menerusi kenyataan hari ini berkata, pengenalan inisiatif ini adalah susulan daripada pengumuman oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 21 Disember lalu.

Ujar Prasarana, pas tersebut adalah untuk semua pemegang kad konsesi OKU sedia ada dan juga pemohon baharu.

“Pengaktifan dan permohonan baharu pas OKU SMILE akan bermula pada esok. Pas ini membolehkan pengguna OKU menikmati tambang percuma bermula 1 Februari depan.

“Prasarana juga akan mengadakan siri jelajah ke beberapa persatuan OKU bagi memberi penerangan berkaitan produk ini.

“Kaunter pendaftaran secara bergerak juga akan dibuka bagi memudahkan golongan ini memohon kad OKU Prasarana sepanjang siri jelajah tersebut,” katanya.

Tambah Prasarana, tambang percuma tersebut adalah sebagai galakan kepada komuniti OKU untuk menggunakan pengangkutan awam serta meluaskan kesalinghubungan kepada golongan tersebut.

Sementara itu, ujarnya, pemegang Kad Konsesi OKU Prasarana sedia ada boleh terus melanggan atau mengaktifkan pas OKU Smile bermula esok di mana-mana kaunter Rapid KL LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab bas terpilih.

“Antaranya adalah hab Bas Rapid KL: Pasar Seni, Chow Kit, KLCC, Sri Nilam, Puchong Utama, Pearl Point, Sunway Pyramid, Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

“Hab Bas Rapid Penang: Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral dan hab Bas Rapid Kuantan: Hentian Bandar Kuantan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diingat supaya mempunyai baki minima RM5 untuk menggunakan pas ini dan memohon untuk
mendapatkan kad baharu jika kad telah tamat tempoh.

Dalam pada itu, pengguna yang masih belum mempunyai Kad Konsesi OKU Prasarana boleh membuat permohonan di kaunter pendaftaran konsesi seperti Rapid KL – Hab Pasar Seni atau Stesen MRT Conlay (MRT Laluan Putrajaya).

Selain itu, adalah Rapid Penang Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit), Terminal Bas Weld Quay, Komtar, Bukit Jambul, Balik Pulau, Bukit Mertajam, Kompleks
Dato Kailan Kepala Batas dan Penang Sentral dan Rapid Kuantan – Terminal Hentian Bandar.

Orang ramai turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan verifikasi.- Kosmo! Online