Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mengutuk kenyataan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh hubungan masyarakat India di negara ini.
Aaron berkata, sebagai negarawan, tidak wajar Mahathir menuduh masyarakat India Malaysia “tidak setia” kepada negara ini kerana “masih terikat dengan negara asal” mereka.
“Beliau sebagai seorang negarawan yang telah bersama-sama membina negara bangsa ini sepatutnya menjadi seorang ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej-mesej kebersamaan.
“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum sekali gus boleh menimbulkan kebencian,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pemimpin politik seperti Mahathir seharusnya menjadi suri teladan memupuk nilai perpaduan, muhibah, dan semangat kebersamaan.
“Saya amat kecewa dan mengutuk keras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir.
“Ingatlah, kepelbagaian itu adalah kelebihan dan kekuatan,” katanya susulan wawancara Mahathir dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.
Aaron berkata, pemimpin negara terdahulu memilih kaedah integrasi nasional berbanding asimilasi, demi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, dan budaya.
Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita tersebut Tamil, Mahathir berkata, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.
Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan “menjadi Melayu”, Mahathir bersetuju. – FMT