Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai draf resolusi tersebut dikemukakan oleh AS dan Jepun dengan undian 11 negara menyokong, sifar menentang dan empat berkecuali termasuk Rusia.
Draf resolusi tersebut mengutuk dan menuntut kumpulan pejuang Houthi Yaman memberhentikan serta-merta serangan ke atas kapal yang melalui Laut Merah.
Resolusi itu mengutuk sekeras-kerasnya berpuluh serangan Houthi ke atas kapal dagang dan komersial di laluan perdagangan utama sejak 19 November 2023.
UNSC menuntut agar Houthi segera melepaskan Galaxy Leader sebuah kapal kargo kendalian Jepun yang mempunyai hubungan dengan syarikat Israel dan anak kapalnya.
Resolusi tersebut turut menuntut agar Houthi segera menghentikan semua serangan yang menghalang perdagangan global dan menjejaskan hak dan kebebasan pelayaran.
.
UNSC juga meminta Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyediakan laporan bulanan bertulis hingga 1 Julai kepada Majlis Keselamatan mengenai sebarang serangan Houthi ke atas kapal dagang dan komersial di Laut Merah.
Pejuang Houthi yang bersimpati dengan rakyat Palestin yang berhadapan dengan serangan dan pembunuhan tentera Istael telah menyasarkan kapal yang mempunyai kaitan dengan rejim zionis itu di selatan Laut Merah.
Mereka berkata serangan itu adalah untuk menyokong rakyat Palestin ketika mereka menghadapi “pencerobohan dan pengepungan” Israel di Gaza.
Laut Merah adalah salah satu laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api. – Agensi