Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Sabah, dipercayai bagi membincangkan perkembangan semasa politik Sabah, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan berhubung topik perbincangan atau hasil pertemuan tertutup itu yang bermula jam 8.30 malam tadi hingga lewat malam tadi.
Perjumpaan antara lain dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.
Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO antaranya Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Semua Ketua Bahagian UMNO di Sabah turut hadir kecuali Ketua UMNO Tuaran yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Perjumpaan dengan kepemimpinan UMNO Sabah itu bersempena lawatan kerja Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ke Sabah untuk menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Kota Belud hari ini.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai kedatangan Ahmad Zahid ke Sabah kononnya mempunyai kaitan dengan pergolakan politik di negeri ini, namun ia dinafikan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri itu, Datuk Jamal Nerubi.
Beliau juga menjelaskan pertemuan Ahmad Zahid dengan pemimpin UMNO Sabah malam tadi, adalah program santai dan ramah, tanpa membabitkan perbincangan isu politik.
Ahmad Zahid dijangka mendedahkan tujuan dan hasil perjumpaannya dengan pemimpin UMNO Sabah pada sidang media di Kota Belud, esok.-BH Online