Sejumlah RM30,000 dan empat buah komputer bernilai RM10,000 disumbang kepada Sekolah Rendah Agama Al Khawarizmi, Kuala Lumpur bagi menaik taraf jalur lebar dan prasarana di sekolah berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian telah memulakan penambahbaikan jalur lebar talian internet terutama di sekolah-sekolah khusus untuk kegunaan para guru bagi mengurangkan beban mendidik dan juga aspek pentadbiran.
“Harapan saya kita dapat tambah baik beberapa prasarana untuk membantu para pelajar, guru-guru dan juga ibu bapa supaya mereka lebih selesa, baik secara langsung atau tidak, dan saya harap ia akan jadi pembakar semabat terutama untuk anak-anak terus belajar di sekolah ini,”katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut membuat lawatan ke tapak dataran aktiviti bagi melihat sendiri keperluan permohonan bantuan pemasangan bumbung, pentas kecil, penutup longkang, lampu dan kipas yang telah dimohon oleh sekolah tersebut.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Siti Razmah Idris dan Dr. Mursilalaili binti Mustapa Sa’di serta Pengerusi PIBG SRA Al Khawarizmi Abas Khatib.-Berita RTM